Di saat anda membaca artikel ini, anda pasti sudah arif tentang perbezaan di antara value investing (pelaburan nilai) dan day trading. Hal ini kerana value investing menitikberatkan tentang kekuatan sesebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham, dan bukannya pada harga syer. Di dalam artikel ini, suka untuk saya kongsikan beberapa ciri syarikat yang boleh dikatakan sebagai sebuah syarikat yang baik dari kaca mata pelabur. Adalah penting untuk diingatkan di sini sebagai seorang pelabur, kita tidak seharusnya mengikut apa sahaja yang didefinisikan sebagai “syarikat yang baik” oleh pelabur-pelabur lain di luar sana. Usah khuatir, anda akan memahami maksud saya setelah membaca keseluruhan artikel.

Seperti biasa, adalah lazim sebagai seorang pelabur untuk memilih atau menyenarai pendek syarikat-syarikat yang ingin dilabur. Setelah itu, anda perlulah melakukan kajian yang lebih mendalam untuk mengenal pasti beberapa ciri. Harus diingatkan, sebagai seorang value investor, kita hanya membeli syer sesebuah syarikat kerana potensinya untuk menambah keuntungan dan berkembang dengan lebih giat di masa hadapan. Seperti value investor lagenda iaitu Warren Buffett yang mengatakan sebaik-baik tempoh memiliki syer adalah selama-lamanya, maka jelaslah bahawa kualiti sesebuah syarikat adalah perkara yang paling penting.

Bagaimana untuk mengatakan sama ada sesebuah syarikat itu berkualiti?

1. Model Perniagaan Yang Baik

Mempunyai model perniagaan/bisnes yang baik adalah sangat penting. Mungkin anda tertanya-tanya: bagaimana caranya untuk mendefinisikan “baik” di dalam konteks model perniagaan? Caranya tidaklah sukar. Anda boleh melihat kepada 2 perkara, iaitu model sesebuah bisnes itu hari ini, dan juga pelan syarikat tersebut pada masa hadapan. Ini adalah beberapa soalan yang anda boleh utarakan:

  • Adakah sesebuah syarikat itu masih menunjukkan prestasi yang kukuh? Adakah ia masih mampu membuat penjualan yang menguntungkan dan mengekalkan pelanggan bersama mereka?
  • Adakah mereka berada di dalam industri yang diancam oleh teknologi?
  • Jika mereka terancam, adakah mereka mempunya pelan yang kukuh untuk menangani perubahan tersebut? (Sebagai contoh mudah, perniagaan berasaskan “brick & mortar” sekarang berada di dalam situasi sukar kerana e-dagang mula menjadi semakin popular. Jadi, adakah syarikat-syarikat tersebut membuat sebarang pelan untuk menjadikan e-dagang salah satu cara mereka menjual?)

2. Pihak Pengurusan Yang Baik

Manusia juga adalah salah satu faktor penting untuk mengenal pasti syarikat yang baik. Hal ini kerana merekalah yang akan membuat segala keputusan berkenaan model bisnes, pemasaran, penambahbaikan produk, malah mengambilan pekerja-pekerja yang mahir. Jika pengurusan tidak berpengalaman atau berkaliber, maka sesebuah syarikat tersebut akan diancam kerugian. Berikut adalah beberapa soalan yang boleh anda utarakan:

  • Adakah pengurusan juga mempunyai syer di dalam syarikat tersebut? (Penting untuk mengetahui sama ada tindakan mereka adalah untuk kepentingan pelabur kerana mereka sendiri melabur di dalam syarikat tersebut. Jika tiada, tinggi kebarangkalian bahawa mereka hanya ingin “makan gaji” dan tiada kepentingan pelabur di dalam membuat keputusan)
  • Adakah pengurusan arif tentang model bisnes syarikat dan industrinya?

3. Syer Pasaran yang Tinggi

Apabila majoriti pelanggan di luar sana memilih produk daripada sesebuah syarikat itu, besar kemungkinan bahawa syarikat tersebut mempunyai pengetahuan mendalam tentang keperluan pengguna. Ini akan terus membantu mereka mengekalkan syer pasaran mereka dengan mengekalkan pelanggan bersama mereka dan bukannya kepada pesaing. Selain itu, syarikat yang mempunyai syer pasaran yang tinggi juga biasanya lebih inovatif dan mempunyai perancangan yang kukuh untuk mengekalkan posisi mereka sebagai market leader.

Namun begitu, harus diingatkan bahawa ini bukanlah satu kepastian, kerana juga terdapat kemungkinan bahawa pesaing terdekat mungkin boleh membawa pulangan yang lebih menguntungkan kepada pelabur. Oleh yang demikian, amatlah penting untuk anda mengetahui cara untuk menganalisi kekuatan kewangan dan tahap keuntungan sesebuah syarikat yang anda berminat untuk melabur.

4. Kelebihan Kompetitif

Kelebihan kompetitif (competitive advantage) juga adalah salah satu ciri yang penting untuk dinilai. Hal ini kerana kita semua pasti tahu bahawa terdapat terlalu banyak persaingan di luar sana di dalam mana-mana industri. Namun, akan adanya beberapa situasi di mana sesebuah syarikat membuat kelebihan yang membolehkannya mengekalkan bisnes model dan keuntungan untuk satu jangka masa yang panjang.

Sebagai contoh, ada sebuah syarikat di luar negara yang berfungsi sebagai ajen kerajaan untuk melakukan pemeriksaan keselamatan kenderaan (kalau nak tahu lebih lanjut, jom hadirkan diri ke kelas saham di VI Kolej – anda boleh daftar Bengkel Khas secara percuma di sini). Bunyinya seperti PUSPAKOM, bukan? Ya, pasti anda sudah boleh meneka kelebihan kompetitif syarikat sebegini, iaitu monopoli – hanya terdapat satu syarikat sebegini di dalam negara tersebut, jadi ia tidak mempunyai saingan. Selain itu, terdapat juga beberapa kelebihan lain yang sesebuah syarikat mungkin ada, seperti teknologi terkini dan sebagainya.

5. Kajian & Pembangunan

Biasanya, syarikat yang mampu bertahan lama akan meletakkan kepentingan di dalam Kajian & Pembangunan (Research & Development). Jika tidak, pasti mereka akan ditinggalkan pesaing lain. Salah satu contoh mudah adalah di dalam industri teknologi. Contohnya di dalam industri pembuatan komputer, bayangkan jika syarikat seperti DELL tidak meletakkan dana dan sumber dan cukup untuk mengembangkan teknologi produknya – sudah pasti mudah untuk pesaing seperti ASUS, Lenovo & HP untuk mengalahkan mereka dengan melakukan R&D dan terus mempromosikan produk terkini.

Kesimpulannya?

Sebagai seorang value investor, adalah sangat penting untuk melihat kekuatan sesebuah syarikat itu sendiri dan bukannya harga syer. Ingat, tujuan membuat pelaburan nilai adalah untuk mengaut keuntungan pasif untuk jangka masa panjang. Kerana tujuan inilah, syarikat yang dilaburkan harus mempunyai potensi untuk bertahan, terus maju, dan boleh menjana keuntungan untuk anda sebagai pelabur untuk sekurang-kurangnya bagi tempoh 5-10 tahun akan datang.


Penafian: Maklumat yang dikongsikan tidak boleh digunakan sebagai “investment advice” untuk membeli mana-mana syer syarikat. Sebagai pelabur, anda haruslah membuat analisa sendiri untuk mengenalpasti potensi keuntungan atau kerugian. Jika anda berminat untuk mengetahui kaedah value investing untuk menjana pendapatan pasif yang stabil dan menguntungkan, anda bolehlah menghadirkan diri ke kelas saham daripada VI Kolej.

Anda mempunyai sebarang komen atau soalan yang ingin diutarakan? Kongsikan di sini!

Komen Facebook