Saham. Satu patah perkataan yang mempunyai banyak maksud. Bukan maksud seperti pengertian kamus Dewan, sebaliknya maksud yang bermain di fikiran individu yang berbeza. Untuk sesetengah orang, saham adalah satu perkara yang asing. Tak pernah disentuh, tak pernah dirasa. Pernah dengar khabar angin sahaja. Untuk yang pernah merasa, rasanya pula mungkin berbeza. Ramai yang terasa “pedas”nya. Tapi ada pula yang rasa “manis”nya. Bendanya sama, tapi kenapa rasanya berbeza-beza? Pelik tapi benar.

Inilah perkara yang nak saya sentuh mengikut pengalaman saya di dalam pelaburan saham. Sedikit disclaimer – apa yang saya kongsikan ini bukanlah berdasarkan pengalaman saya semata-mata. Tetapi, ia himpunan cerita dan pengalaman daripada rakan-rakan pelabur yang suka berkongsi perjalanan pahit manis mereka bermain saham.

Yang best memang best – kisah yang capai untung XXX% pun ada terutamanya untuk yang sempat menyauk peluang di pertengahan tahun pertama 2020 (masa pasaran saham jatuh menjunam bulan Mac dek kerana pandemik), tapi ini bukanlah apa yang nak saya sentuh di dalam artikel ini. Tak dinafikan saham adalah salah satu kaedah bina kekayaan yang paling efektif dan praktikal (malah inilah tujuan kepada saya mula menulis blog ini – iaitu nak membuka mata anda semua tentang pentingnya untuk melabur). Tapi, sepertimana kaedah pelaburan lain, risikonya sentiasa ada.

“There’s no such thing as a risk-free investment”.

Setuju?

Walaupun jelas adanya risiko, kenapa ada yang masih mampu jana keuntungan yang sangat konsisten? Tuan punya badan pun nampak rileks sentiasa, bukannya alih-alih menghadap laptop, telefon untuk tengok perubahan harga. Sebaliknya, ada juga yang bukan main perlu bergelut, malah ada yang tewas sampaikan sanggup kata “tobat aku tak nak sentuh saham lagi dah”. Kenapa?

Ini sebabnya. Saya himpunkan di sini beberapa point penting supaya anda tidak ikut terjerat dengan cara pemikiran dan metodologi mereka yang tumpas di “medan saham”. Begini cara mereka:

Cara Pelaburan Yang “Menjanjikan” Kerugian

Formula #1: Melabur Tanpa Ilmu

Dalam apa jua perbuatan – ibadah, pekerjaan, bisnes – semuanya perlukan ilmu. Tetapi, ada segelintir pihak yang bila nak melabur, ilmunya ditolak ke tepi. Sebaliknya, mereka ambil jalan mudah iaitu hanya menyalin strategi rakan pelabur bulat-bulat, mahupun mengikut “stock tips”. Soalan yang tak putus-putus keluar dari mulut mereka adalah:

Stock X boleh beli tak?

Boleh bagi idea sikit trading hari ni?

Kau beli saham apa? Kongsi sikit portflio, aku nak tiru.

Research? Bazir masa. Alah, bagitau je lah stok mana kau beli. Dasar kedekut!

Bila melabur cara ini, mereka tidak mengambil kira analisa yang telah dibuat. Bukan itu saja, mereka abaikan juga faktor risk profile masing-masing yang berbeza-beza. Sebagai contoh, Mr. A letak RM10,000 dalam saham spekulatif untuk mencuba nasib, ketika saiz portfolionya RM1 juta (1% dari jumlah keseluruhan). Mr. B pula ikut letak RM10,000 juga, tetapi RM10,000 itulah semua modal yang Mr. B ada. Bila tersilap langkah, Mr. A terjejas sebanyak 1%, manakala Mr. B 100%. Agak-agak, siapa yang terduduk bila terkena penangan stock market?

Kalau kail panjang sejengkal, lautan luas jangan diduga!

Formula #2: Cuba Nasib

Sifat ingin tahu. Itulah yang ada di dalam fikiran mereka yang ingin mencuba nasib di pasaran saham. Biasanya, ia terjadi disebabkan ada rakan-rakan yang pelabur, tetapi malangnya sifat ingin tahu ini tidak cukup tinggi. Mereka malu untuk bertanya dan mendapatkan panduan. Jadi alih-alih, mereka hanya mencuba nasib dalam memilih saham untuk dilabur. Ianya tak ubah seperti membaling dadu atau syiling – ikut sahaja yang mana ditetapkan nasib. Ada rezeki, adalah. Kalau tak ada, lantaklah.

Jenis pelabur kedua ini tak ubat seperti jenis yang pertama. Cuma bezanya, sang pencuba nasib buat dengan mata yang celik. Bagi mereka, stock market tak ubah seperti kasino.

Ini bahaya, kerana 2 perkara. Satu, bila melabur buta-buta, pastinya kebarangkalian nak rugi itu sangat tinggi. Umpama pergi memanah, tapi dipanah dengan mata yang tertutup. Besar kemungkinan bukan sahaja mereka tersasar, tapi takut juga terpanah tempat yang tidak sepatutnya.

Yang kedua, bila dah kena pengalaman yang pahit ini, mereka akan mempunyai persepsi yang negatif tentang pasaran saham. Lepas kerugian, mereka hanya akan beritahu kepada rakan-rakan, “tak usahlah main saham, aku dulu rugi ribu-ribu, juta-juta”. Alih-alih, rakan-rakan di sekeliling rasa takut tentang makhluk lapar bernama Saham yang mampu menelan modal mereka bulat-bulat dengan sekali “ngap”.

Formula #3: Nak Kaya Cepat!

Silap terbesar ramai pelabur adalah bila mereka main saham dengan niat nak kaya cepat. Bila ini mantera yang sering diucap, bahaya mendatang. Kerana mereka yang tamak dan rakus ni biasanya cenderung bertindak mengikut emosi. Mereka buat keputusan secara melulu tanpa mengikut prinsip pelaburan yang dipelajari. Ya, benar, kadang-kadang ada yang sudah berilmu pun tetapi sayang ia diketepikan oleh emosi yang tidak stabil.

Melabur dengan niat nak kaya cepat akan menyebabkan mereka menjadi terlampau agresif dan optimistik, hinggakan melabur dengan “risk-reward ratio” yang tidak seimbang. Ada yang sanggup memilih untuk melabur dalam syarikat yang prestasi kewangannya tidak stabil, model perniagaan pun banyak kepincangan, semata-mata kerana difikirkan saham-saham ini mampu menjana pulangan yang lumayan.

Semuanya kerana terikut-ikut kisah jutawan ekspres di YouTube & Instagram yang memomokkan kaedah pelabur sebenar dan memanggil mereka ini “old school”.

Yang lagi parah – ada yang sanggup meminjam wang untuk bermain saham. Alih-alih, apabila rugi, bukan sahaja mereka hilang modal sendiri, malah akan terperangkap dengan hutang. Losing money you don’t even own is really, really bad.

Tidak dinafikan dalam pasaran saham – sepertimana apa-apa kaedah pelaburan pun – akan ada unsur-unsur spekulasi. Ini kerana tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan. Jadi, kebanyakan kesnya adalah mereka ini bernasib baik dan bijak mengambil peluang. Jadi, janganlah kita terikut-ikut dengan berita begini, dan jangan jadi terlalu agresif.

Pernah dengar kisah kura-kura dengan arnab? “Slow and steady wins the race”.

Jadi, Apa Cara Melabur Yang Betul?

Dapatkan Ilmu Yang Betul

Untuk yang belum ada ilmu pelaburan, langkah pertama adalah untuk menuntut ilmu terlebih dahulu. Tapi ingat, ada banyak sumber untuk belajar di luar sana. Apa-apa pun, saya sarankan anda sertai beberapa kelas dan buat kaji selidik untuk membandingkan sendiri konsep dan metodologi yang diajar. Lepas buat penilaian, pilihlah jalan yang sesuai dengan anda.

Jangan “Cuba-Cuba” Nasib!

Satu perkara yang amat penting yang saya pelajari dalam pelaburan daripada mentor-mentor berpengalaman adalah:

If you don’t know what you’re doing; do nothing!

(Terjemahan: kalau anda tak tahu apa yang sedang anda lakukan, jangan buat apa-apa!)

Ingat, tujuan utama untuk melabur adalah untuk mendapatkan keuntungan dan mengembangkan portfolio saham anda. Ianya pasti memerlukan ilmu yang cukup. Jadi kalau anda tidak mempunyai panduan, lebih baik dibiarkan dahulu modal anda tu sampailah anda tahu apa yang perlu dilakukan. Contohnya, ini berapa perkara yang sekurang-kurangnya anda patut tahu:

  • Macam mana nak kenal pasti saham berkualiti?
  • Macam mana nak kenal pasti risiko saham yang sedang dipertimbangkan?
  • Apa buying price anda?
  • Sampai bila kena hold?
  • Macam mana nak uruskan dan kemaskini portfolio saham?

Betulkan Fahaman Anda Tentang Pelaburan

Pelaburan bukanlah satu perkara yang dibuat untuk jadi kaya sekelip mata. Tetapi, ia satu proses jangka masa panjang yang boleh membantu anda membina kekayaan dengan stabil. Ambil contoh Warren Buffett yang mula melabur sejak remaja dan tahun ini berumur 91 tahun. 99% daripada kekayaan beliau (yang kini dianggarkan bernilai USD108.2 billion) diperolehi ketika berumur 50 tahun.

Yang patut anda tahu adalah di dalam pelaburan, ada satu perkara yang boleh membantu anda membina kekayaan secara konsisten, iaitu compounding effect. Ia bermaksud modal anda akan berganda dari tahun ke tahun jika dibiarkan (ini yang kita panggil passive investing). Dengan compounding effect, anda mampu menggandakan RM10,000 kepada RM1,000,000 (1 juta) dalam tempoh lebih kurang 26 tahun dengan kadar keuntungan 20% tahunan.

Contoh diambil di laman web investor.gov. Abaikan US Dollar tu, formulanya sama sahaja dengan Ringgit Malaysia.

Kalau anda bermula dengan RM10,000, kemudian setiap hari menyimpan RM10 (RM300) untuk disuntik sebagai modal tambahan pula, anda akan sampai ke RM1 juta 6 tahun lebih awal.

Ramai yang akan kata – “siapa nak tunggu 20 tahun?” Rasa macam lambat. Persoalannya, adakah kita rasa tahun 2000 jauh di belakang? Tahu-tahu saja, kita di 2021. Tahun ni “Senario Lagi” masuk Netflix. Filem ni keluar tahun 2000. Saya rasa macam baru semalam tengok filem ni bersama keluarga guna VCD masa cerita ni mula-mula keluar.

Yang pasti, kalau ini tindakan yang diambil tahun 2000, hari ini dapatlah kita merasa hasilnya yang dah meningkat 100X.

Terfikir pula, kalaulah ilmu melabur ni saya tahu 20 tahun lepas, fuh. Tapi ya lah, bila cerita tentang “kalau”, kepala kereta api pun boleh makan.

Kesimpulan

Saya rumuskan penulisan saya dalam bentuk bullet point supaya mudah untuk anda ingat:

  1. Pelaburan saham ada risiko. Jangan melabur tanpa ilmu.
  2. Jangan bazirkan duit “cuba nasib” dalam saham. Pasaran saham bukan kasino.
  3. Kalau tak tahu macam mana nak mula atau apa nak dibuat, carilah panduan.
  4. Melabur adalah 1/4 ilmu, 3/4 kawalan emosi. Jadi, belajarlah untuk melabur secara objektif.
  5. Bila melabur, jauhi mindset “nak kaya cepat”. Lagi baik pilih jalan “pasti kaya”.

Sekian perkongsian artikel kali ini. Harap ianya bermanfaat buat anda. Apa komen dan pandangan anda tentang perkara dibincangkan? Silalah berkongsi di bahagian komen di bawah.

Terima kasih!

Sambil tu, saya harap anda tak kisah saya selitkan sedikit info bahawa saya adalah Trainer di VI College dan kami ada menganjurkan Seminar Labur Saham Syariah percuma (buat masa ini – artikel ini ditulis pada 15 Mei 2021) secara online untuk umum. (P.s. kalau anda klik link tetapi tidak ke mana-mana, maksudnya program ini telah tamat). Kalau berminat, sudi-sudikanlah mendaftar ke program ini dan In Sha Allah saya akan kongsikan kaedah pelaburan yang sistematik yang saya sendiri praktikkan.

Sila klik untuk mendaftar: https://labursahamsyariah.com/belajar-saham/

Komen Facebook