Mengikut kamus Dewan Bahasa & Pustaka, maksud dividen adalah bahagian keuntungan yang dibayar kepada pemegang saham di dalam sesuatu syarikat.

Sebagai contoh asas bagi tujuan pemahaman: Syarikat ABC mempunyai 5 orang pelabur yang masing-masing memiliki 20% saham syarikat ini. Pada tahun 2019, ia telah mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM10,000. Seterusnya, syarikat ini ingin membahagikan 50% keuntungannya (iaitu RM5,000) kepada semua pemegang saham. Oleh itu, keuntungan RM5,000 itu dibahagikan sama rata kepada 5 pemegang saham tersebut, sebanyak RM1,000 setiap seorang mengikut nilai pegangan masing-masing.

Bayaran RM1,000 inilah yang dipanggil dividen.

Lebihan keuntungan (baki RM5,000) yang tidak dibayar itu pula akan digunakan untuk pelaburan semula (re-investment). Di dalam istilah pelaburan, ianya dikenali sebagai “retained earnings” atau perolehan tertahan.

Selain daripada menerangkan maksud dividen itu sendiri, ingin saya kongsikan beberapa makluman tambahan berkenaan dividen.

Jenis Dividen

Terdapat 3 jenis dividen utama, iaitu:

  1. Dividen tunai
  2. Dividen saham
  3. Dividen harta

Dividen Tunai

Pembayaran dividen secara tunai adalah kaedah yang paling biasa dipraktikkan syarikat untuk membahagikan keuntungan.

Dividen Saham

Dividen saham juga adalah sesuatu yang biasa dipraktikkan. Berbeza dengan dividen tunai, syarikat akan memberikan saham tambahan yang lazimnya diberikan berdasarkan nisbah saham pegangan. Sebagai contoh, sesebuah syarikat boleh menetapkan pemberian 5 syer tambahan bagi setiap 100 syer yang dimiliki sebagai dividen.

Dividen Harta

Ia merujuk kepada pembayaran di dalam bentuk aset. Sebagai contoh, bayaran dibuat di dalam bentuk keluaran atau perkhidmatan. Kaedah pembahagian dividen ini amat jarang dilakukan.

Maksud Dividen
Dividen adalah salah satu tujuan utama untuk melabur saham.

Adakah Semua Syarikat Membayar Dividen Kepada Pelabur?

Tidak semestinya. Pihak pengurusan syarikat akan menetapkan sama ada bayaran dividen akan dibuat atau tidak, bergantung kepada beberapa faktor seperti polisi, pelan perniagaan, dan prestasi semasa syarikat.

Biasanya, syarikat yang sedang berkembang tidak akan membayar dividen, ataupun jika bayaran dibuat, jumlahnya adalah lebih rendah. Hal ini kerana keuntungan akan digunakan semula bagi tujuan mengembangkan perniagaan, inovasi & penyelidikan, dan sebagainya.

Sebaliknya, jika sesebuah syarikat tidak lagi boleh berkembang (oleh kerana industri atau jenis perniagaan mereka yang telah matang), atau mempunyai keuntungan yang cukup banyak, maka dividen biasanya akan dibayar.

Selain itu, industri sesebuah syarikat juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh, syarikat telekomunikasi, utiliti, dan amanah pelaburan hartanah (Real Estate Investment Trust atau “REIT”) biasanya membayar dividen yang tinggi. Manakala, syarikat teknologi (e-dagang, biotek) akan membayar lebih rendah, atau kadang-kadang tidak membayar dividen langsung.

Bila Bayaran Dividen Dibuat?

Ianya bergantung kepada polisi syarikat. Tempoh yang biasa dipraktikkan adalah suku tahunan atau tahunan.

Nota: Untuk melayakkan seseorang pemegang saham mendapat dividen, mereka haruslah memegang saham sesebuah syarikat tersebut sekurang-kurangnya pada tarikh rekod yang diumumkan syarikat. (Sebagai contoh, Syarikat ABC mengumumkan mana-mana individu yang memegang saham syarikatnya sehingga 30 Jun 2020 akan mendapat bayaran dividen).

Adakah Dividen Tertakluk Kepada Cukai?

Ssecara amnya, dividen akan tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia. Tetapi, menurut laman web LHDN, terdapat beberapa pengecualian, iaitu:

  1. Dividen yang diterima daripada syarikat yang mengagihkan dividen daripada pendapatan syarikat yang dikecualikan daripada cukai (terpakai untuk kes dividen saham).
  2. Dividen yang diterima daripada syarikat kerjasama (koperasi).
  3. Dividen yang diterima daripada amanah saham yang diluluskan oleh Menteri Kewangan, seperti dividen Amanah Saham Bumiputera.
  4. Dividen yang diterima daripada unit amanah yang diluluskan oleh Menteri Kewangan yang melaburkan 90% atau lebih daripada unit amanah tersebut dalam sekuriti kerajaan

*Harus diingatkan bahawa ini adalah maklumat am semata-mata. Sila rujuk laman web LHDN atau mana-mana pakar perunding percukaian (tax consultant) untuk khidmat nasihat & maklumat yang terkini dan lebih tepat.

Bagaimana Untuk Melabur Dalam Syarikat Yang Membayar Dividen?

Jika anda berminat untuk mempelajari:

  1. Cara mengenalpasti sama ada sesebuah syarikat membayar dividen atau tidak;
  2. Cara menganalisa purata dividen yang dibayar sesebuah syarikat (tinggi atau rendah) sebelum melabur;
  3. Cara mengetahui syarikat yang dilabur mempunyai kestabilan kewangan untuk terus membayar dividen dalam jangka masa panjang; dan
  4. Cara mengenalpasti syarikat yang dilabur patuh syariah atau tidak;

anda bolehlah menghadirkan diri ke kelas saham kami. Jom belajar saham bersama-sama!

Maksud Dividen: Penerangan Video

Adakah anda berpuas hati dengan penerangan bagi maksud dividen di dalam artikel ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen.

Komen Facebook