Setiap Muslim yang beriman pasti akan menitikberatkan halal haram di dalam setiap aspek kehidupan. Bahkan, ianya akan menjadi kriteria utama sebelum mengambil apa-apa tindakan, termasuklah dalam membina harta kekayaan melalui perniagaan, pekerjaan, mahupun pelaburan. Memperincikan perbincangan kita di dalam hal pelaburan, seorang pelabur yang baik akan meletakkan pelaburan patuh Syariah sebagai syarat utama.

Sebelum kita kupas mengenai pelaburan saham patuh Syariah dengan lebih mendalam, ada baiknya untuk mengingatkan diri tentang hukum membuat pelaburan itu sendiri. Secara dasarnya, hukum melabur adalah harus. Namun begitu, harus diingatkan bahawa ia mestilah mengikut syarat-syarat kepatuhan Syariah.

Menurut firman Allah SWT di dalam kitab suci al-Quran:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan jual beli (perniagaan) dan mengharamkan riba.”

Surah Al-Baqarah, Ayat 275

Menurut ayat suci ini, salah satu elemen yang mengharamkan sesuatu perkara itu adalah riba. Riba, dari segi istilah, merujuk kepada “pertambahan” nilai ke atas sesuatu pinjaman. Selain itu, ia juga boleh merujuk kepada perbezaan nilai akibat kuantiti berbeza ataupun perbezaan waktu pertukaran.

Kriteria Syarikat / Saham Patuh Syariah

Telah kita maklum akan keharusan melabur, dan kepentingan untuk memastikan pelaburan kita adalah halal atau patuh Syariah. Persoalan seterusnya adalah; apakah kriteria yang digunapakai untuk menetapkan sama ada sesebuah syarikat atau saham adalah patuh Syariah?

Di Malaysia, kriteria ini ditetapkan oleh Majlis Penasihat Syariah (Syariah Advisory Council atau “SAC”) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Menurut SAC, mereka menggunakan pendekatan kuantitatif 2 peringkat, iaitu:

  1. Tanda aras aktiviti perniagaan
  2. Tanda aras nisbah kewangan

Jika sesebuah syarikat berada di bawah tanda aras yang ditetapkan, ianya akan diambil kira sebagai sebuah perniagaan patuh Syariah (yang secara automatik, sahamnya juga menjadi saham patuh Syariah). Berikut adalah sedikit sebanyak penerangan tentang 2 tanda aras ini:

1. Tanda Aras Aktiviti Perniagaan

a) Tanda Aras 5%

SAC menetapkan sesebuah syarikat akan dikira sebagai patuh Syariah jika sumbangan daripada mana-mana aktiviti tidak patuh Syariah (seperti di bawah) tidak menyumbang lebih 5% kepada perolehan Kumpulan dan keuntungan cukai Kumpulan syarikat tersebut:

  • Arak dan aktiviti berkaitan (memproses, mengilang, menjual, dll)
  • Babi dan aktiviti berkaitan (menternak, memproses, menjual, dll)
  • Perjudian
  • Hiburan tidak patuh Syariah
  • Makanan dan minuman tidak halal
  • Tembakau dan aktiviti berkaitan (memproses, mengilang, menjual, dll)
  • Insurans konvensional
  • Pendapatan faedah daripada akaun dan instrumen konvensional
  • Dividen daripada pelaburan tidak patuh Syariah
  • Mana-mana aktiviti lain yang diputuskan SAC sebagai tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah

b) Tanda Aras 20%

Penanda aras 20% ini pula terpakai untuk jenis perniagaan atau aktiviti-aktiviti berikut:

  • jual beli saham
  • pembrokeran saham
  • Sewaan daripada aktiviti-aktiviti tidak patuh Syariah
  • Mana-mana aktiviti lain yang diputuskan SAC sebagai tidak mematuhi prinsip-prinsip Syariah

Jadi, di dalam kategori ini, sesebuah perniagaan hanya dikira sebagai patuh Syariah jika perolehan Kumpulan dan keuntungan cukai Kumpulan syarikat daripada aktiviti-aktiviti tersenarai adalah kurang daripada 20%.

2. Tanda Aras Nisbah Kewangan

a) Tunai Ke Atas Jumlah Aset

Tunai yang diambil kira adalah tunai yang ditempatkan di dalam akaun dan instrumen konvensional. Tetapi, tunai yang ditempatkan di dalam akaun dan isntrumen Islam tidak diambil kira di dalam pengiraan ini.

b) Hutang ke Atas Jumlah Aset

Hutang yang diambil kira adalah hutang yang berteraskan faedah. Kaedah pembiayaan Islam ataupun sukuk tidak akan diambil kira di dalam pengiraan ini.

Setiap nisbah di atas, yang bertujuan untuk menilai riba atau elemen berteraskan riba dalam penyata kedudukan kewangan syarikat tidak boleh melebihi 33 peratus.

Selain penilaian melalui kaedah kuantitatif, SAC juga mengambil kira aspek kualitatif di dalam penilaian, iaitu melibatkan imej aktiviti syarikat dan persepsi umum dari perspektif pengajaran Islam.

Pelaburan Patuh Syariah
Mengetahui kriteria saham patuh Syariah adalah ilmu yang sangat berguna untuk seseorang pelabur.

Bagaimana untuk Kenali Saham Patuh Syariah?

Anda pasti tertanya-tanya, adakah cara yang mudah untuk mengetahui sama ada sesebuah syarikat itu patuh Syariah dan sesuai untuk dilabur? Jawapannya ya, ada beberapa kaedah untuk anda mendapatkan maklumat ini.

1. Pasaran Tempatan

Laman Web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

SAC Suruhanjaya Sekuriti ada mengeluarkan senarai sekuriti patuh syariah yang dikemaskini 2 kali setahun, iaitu pada setiap hujung bulan Mei dan November. Anda boleh mendapatkan senarai terkini melalui pautan ini: https://www.sc.com.my/development/islamic-capital-market/list-of-shariah-compliant-securities-by-scs-shariah-advisory-council

Laman Web Bursa Marketplace

Laman web Bursa Marketplace adalah satu platform yang sangat berguna untuk pelabur yang ingin mendapatkan maklumat dengan lebih pantas. Caranya adalah semudah melayari laman web ini: https://www.bursamarketplace.com/mkt/themarket/stock

Apabila anda berada di laman web ini, anda akan melihat interface ini.

saham patuh syariah
*Maklumat ini adalah tepat sehingga 8 Julai 2020.

Perhatikan toggle “Shariah Mode” di bahagian atas kanan laman web ini. Untuk melihat saham patuh syariah, anda cuma perlu memastikan setting Shariah Mode ditetapkan kepada “On”.

pelaburan patuh syariah

Dengan semudah itu, anda boleh menapis senarai saham yang ada kepada saham patuh Syariah.

pelaburan halal
Perhatikan di bahagian kiri atas, betul-betul di atas nama syarikat (saya mengambil Bursa Malaysia sebagai contoh). Anda boleh melihat tanda “Shariah Compliant” padanya.

2. Pasaran Global

Apabila bercerita tentang pasaran global, kebanyakan daripada saham yang ada adalah tidak patuh Syariah. Hal ini adalah perkara biasa kerana sesetengah negara itu sendiri bukanlah sebuah negara Islam. Sehubungan dengan ini, tidak semua negara ada badan seperti SAC yang ditubuhkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Namun begitu, anda tidak perlu khuatir kerana terdapat beberapa sumber yang boleh digunapakai untuk tujuan screening. Di dalam artikel ini, saya ingin berkongsi 2 aplikasi yang boleh anda pertimbangkan.

Islamicly App

Islamicly App adalah sebuah aplikasi yang dibina khas untuk membantu anda mengenalpasti pelaburan patuh Syariah. Melalui aplikasi ini, pengguna boleh menganalisi lebih 30,000 saham syarikat daripada pasaran yang berbeza. Salah satu kelebihan aplikasi ini adalah tahap kepatuhan Syariah sesebuah syarikat akan disemak dan dikemaskini setiap hari.

Syarikat yang memperkenalkan aplikasi ini menggandingkan kepakaran 3 individu profesional di dalam pelaburan patuh Syariah bagi tujuan penilaian, iaitu:

  1. Dr. Muhammad Ali El-Gari, Arab Saudi
  2. Dr. Mohammad Amin Ali Qattan, Kuwait
  3. Dr. Nazih Hammad, Kanada

Jadi, aplikasi ini sesuai untuk mereka yang ingin membuat pelaburan saham patuh Syariah di pasaran asing seperti Amerika Syarikat yang juga mempunyai banyak syarikat teknologi (seperti Alphabet, Facebook, Microsoft, Intel, dan lain-lain) yang mempunyai potensi pertumbuhan yang pesat.

Sila layari laman web Islamicly untuk mendapatkan maklumat terperinci berkenaan aplikasi ini, atau terus ke pautan ini untuk mengetahui kriteria yang digunakan untuk screening: https://www.islamicly.com/screening-criteria.

Alternatif: Zoya

Zoya boleh dikira sebagai alternatif kepada Islamicly, yang mana kaedah screening adalah mengikut standard Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) yang berpengkalan di Bahrain. Ianya berada di bawah naungan Sheikh Joe Bradford, penasihat Syariah untuk Zoya.

Di dalam aplikasi ini, lebih 7,000 syarikat tersenarai di pasaran saham Amerika Syarikat & Kanada. Pada masa depan, Zoya bercadang untuk menambah jumlah saham dianalisa ke 30,000 bagi pasaran global. Anda boleh merujuk laman web Zoya untuk maklumat lanjut.

Senangnya Nak Cari Saham Patuh Syariah

Teknologi terkini telah menjadikan proses screening untuk mengenalpasti saham patuh Syariah sangat mudah. Oleh kerana itulah, adalah menjadi wajib untuk kita sebagai seorang muslim untuk memilih pelaburan halal lagi baik. Dengan niat yang ikhlas, ditambahkan dengan cara yang baik, In Sha Allah pelaburan kita akan membuahkan hasil yang lumayan dan berkat.

Berminat untuk belajar cara untuk membuat pelaburan patuh Syariah? Sertai kelas saham kami!

Komen Facebook