Perihal pendapatan adalah sesuatu perkara yang tidak asing di dalam kehidupan seharian. Kita bekerja, berniaga, malahan melabur untuk mencari pendapatan bagi tujuan kelangsungan hidup diri sendiri, ahli keluarga, mahupun mana-mana individu yang bergantung kepada kita. Meskipun begitu, tidaklah semua jenis pendapatan mendatangkan pulangan melalui cara yang sama. Contohnya, pendapatan pasif.

Apakah Maksud Pendapatan Pasif?

Pendapatan pasif ditakrifkan sebagai pendapatan yang diperoleh seseorang secara berkala dan tetap, tetapi tidak memerlukan perhatian ataupun usaha yang banyak untuk mendapatkannya. Pendapatan pasif mempunyai ciri-ciri berikut:

  • Ia memerlukan pelaburan awal (upfront investment), dan keuntungan akan diperoleh secara berterusan kemudiannya
  • Ia memerlukan seseorang itu meletakkan usaha sekali sahaja pada peringkat permulaan, dan akan tetap mendapat hasil secara berterusan kemudiannya.
  • Keuntungan tersebut dijana di atas usaha pihak lain.

Hal ini berbeza dengan pendapatan aktif yang memerlukan usaha dan perhatian yang banyak. Sebagai contoh, gaji seorang pekerja dikira sebagai pendapatan aktif kerana ia memerlukan individu tersebut bekerja atau meletakkan usaha untuk mendapatkan balasan berupa upah.

pendapatan pasif
Pendapatan pasif boleh diibaratkan seperti menanam benih pokok buah-buahan yang kemudiannya membesar dengan sendiri dan akhirnya mengeluarkan buah yang mampu dinikmati secara berterusan.

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Pelaburan Hartanah

Pelaburan hartanah mampu membantu anda menjana pendapatan pasif melalui sewaan. Sekiranya anda mempunyai hartanah komersial mahupun perumahan, pendapatan ini boleh dijana sama ada dengan menyewakan keseluruhan unit mahupun ruangan/bilik secara berasingan. Salah satu strategi yang baik adalah dengan membeli hartanah di kawasan tumpuan (seperti berdekatan universiti, stesen LRT, dan lain-lain) dan seterusnya disewakan. Tetapi, memandangkan kos permulaan adalah tinggi (deposit, bayaran khidmat guaman, kos ubahsuai dan penyelenggaraan), anda haruslah berhati-hati dalam membuat pelaburan ini.

Royalti daripada Harta Intelek

Harta intelek juga mampun memberikan pendapatan pasif dalam tempoh jangka masa panjang. Inilah cara kebanyakan artis mendapatkan pendapatan secara berterusan. Sebagai contoh, seorang artis yang menggubah sebuah lagu popular boleh mendaftarkan lagu tersebut sebagai harta intelek. Seterusnya, mana-mana pihak yang ingin menggunakan lagu hasil ciptaaannya itu untuk apa-apa tujuan (seperti penggunaan di dalam radio, iklan, dan lain-lain) akan perlu membayar royalti.

Pelaburan Vending Machine

Bisnes vending machine juga mampu memberikan pendapatan pasif jika caranya betul. Di dalam bisnes seperti ini, mengetahui lokasi yang mempunyai permintaan tinggi adalah penting. Selain itu, adalah penting juga untuk anda ketahui selok-belok bisnes ini terlebih dahulu.

Perniagaan Automatik

Anda pasti tertarik dengan perkataan “automatik” yang disebut. Hal ini amat penting kerana ia membezakan sama ada sesebuah perniagaan itu dikatakan sebagai sumber pendapatan aktif atau pasif. Di dalam kes ini, pendapatan pasif hanya akan diperolehi daripada perniagaan yang sudah mempunyai sistem. Beberapa contoh yang sesuai adalah apabila anda menjadi pelabur kepada perniagaan seorang rakan yang lain, dan anda tidak terlibat di dalam hal ehwal pengurusan harian perniagaan tersebut.

Bina Blog & Jana Pendapatan Melalui Iklan

Transformasi digital telah mengubah trend tingkahlaku manusia secara amnya. Saban tahun, jumlah penggunaan internet semakin meningkat, yang membawa juga kepada peningkatan dalam penggunaan laman carian seperti Google, dan blog-blog atau laman web yang tersenarai. Selain daripada beberapa kaedah untuk menjana pendapatan melalui blog (seperti menjual produk secara online atau membuat affiliate marketing – iaitu dengan ara mempromosikan produk orang lain), anda boleh meletakkan iklan di dalam laman web (seperti banner ataupun pop up ads). Anda boleh mendaftar sebagai publisher dengan platform-platform seperti Google AdSense, Propeller Ads, MGID dan macam-macam lagi.

Tetapi, anda haruslah mempunyai trafik yang cukup banyak untuk menjana pendapatan pasif secara berterusan. Secara purata, dengan setiap 100,000 pelawat sebulan, anda berpotensi menjana RM100-RM200 daripada iklan sebegini.

Pelaburan Saham

Pelaburan saham juga adalah kaedah yang baik untuk menjana pendapatan pasif. Hal ini kerana anda cuma perlu membuat pelaburan pada peringkat awal dan kemudiannya akan mampu menjana keuntungan di kemudian hari. Di dalam artikel ini, kita merujuk kepada saham dividen yang mana anda akan mendapat pulangan apabila syarikat yang dilabur berjaya mengaut keuntungan lebihan. (P.s. klik di sini untuk mengetahui maksud dividen).

Apa yang menarik tentang pelaburan saham, modal permulaannya juga adalah sangat rendah. Di Malaysia, anda cuma memerlukan serendah RM100 untuk mula menjadi seorang pelabur.

Nak belajar kaedah betul memilih saham yang baik untuk dilaburkan bagi mendapatkan pulangan jangka masa panjang? Jom hadiri kelas saham kami secara percuma di sini: https://labursahamsyariah.com/belajar-saham/

Pendapatan Pasif Penting untuk Mengembangkan Sumber Rezeki Anda

Oleh kerana situasi ekonomi yang mencabar ini, pasti anda juga mengetahui akan kepentingan mempunyai pendapatan pasif sebagai sokongan. Tetapi, pastinya kita tidak mahu berhenti di sini, kerana apa yang terbaik adalah apabila 100% daripada perbelanjaan bulanan kita dapat ditampung melalui pendapatan pasif. Inilah yang dinamakan financial freedom, kerana anda tidak lagi perlu bekerja untuk wang. Inilah impian ramai pelabur di luar sana.

Komen Facebook