Profil risiko (“Risk Profile”) adalah penilaian tahap kesediaan dan kemampuan seseorang individu untuk mengambil risiko. Sebagai seorang pelabur bijak, mengenali profil risiko diri sendiri adalah penting untuk menentukan kaedah peruntukan aset pelaburan yang bersesuaian untuk anda.

Secara anya, terdapat 3 tahap utama di dalam profil risiko, iaitu:

  1. Agresif
  2. Sederhana
  3. Konservatif

Namun begitu, di dalam sesetengah kaedah penilaian, tahap pertengahan di atas agresif dengan sederhana & sederhana dengan konservatif juga lazim digunakan. Ia bertujuan untuk memberikan maklumat lebih tepat tentang kadar (“magnitude”) profil risiko pelabur itu sendiri.

3 Tahap Utama Profil Risiko

Sebelum anda membaca dengan lebih lanjut, harus diingatkan bahawa tidak ada istilah betul atau salah di dalam profil risiko. Sebaliknya, ia hanyalah digunakan sebagai panduan untuk mengenali sifat anda semata-mata bagi tujuan penyesuaian portfolio untuk setiap individu berbeza.

1. Profil Agresif

Optimistik, Berani, Dan Meminati Keuntungan Jangka Pendek

Anda pasti mempunyai rakan yang benar-benar mempunyai minat yang mendalam di dalam pelaburan dan akan sentiasa mengikuti berita pasaran saham secara aktif. Demikianlah salah satu kaedah untuk mengenal ciri-ciri seorang pelabur agresif, yang mana mereka gemar akan turun naik atau “drama” yang berlaku di pasaran saham setiap hari. Bagi mereka, itulah salah satu aspek yang menarik minat mereka di dalam pelaburan.

Selain itu juga, seorang pelabur agresif akan meletakkan lebih kepentingan kepada potensi keuntungan berbanding risiko itu sendiri. Boleh dikatakan juga kaedah yang digunapakai adalah “high risk, high reward“, menyebabkan mereka sanggup untuk mengambil risiko yang dirasakan sesuai meskipun ada di antara pelaburan mereka adalah tidak menentu.

Seorang pelabur agresif biasanya tidak mempunyai masalah untuk melabur di dalam syarikat kecil atau baharu yang kurang “track record” (nota: sebagai seorang value investor, sekurang-kurangnya maklumat kewangan selama 5 tahun diperlukan sebagai kriteria utama untuk mengetahui tahap kestabilan pertumbuhan sesebuah syarikat) tetapi menunjukkan potensi pertumbuhan yang besar.

Dari segi tempoh capaian keuntungan pula, mereka lebih tertarik kepada keuntungan jangka masa pendek (kurang 5 tahun). Manakala dari segi umur pula, seseorang pelabur muda lebih cenderung untuk bersifat agresif dek kerana sifat semulajadi mereka yang berani mencuba sesuatu yang baru, malah tidak takut untuk gagal.

Jika anda mempunyai ciri-ciri sebegini, berkemungkinan anda adalah seorang pelabur yang agresif.

2. Profil Sederhana

Seimbang, Mahukan “The Best of Both Worlds”

Pelabur yang mempunyai profil risiko sederhana adalah seorang yang mempunyai keseimbangan karakter. Ini bererti pelabur seperti ini mahukan kedua-duanya sekali – pulangan sederhana hinggi tinggi dengan kadar risiko yang sederhana.

Mereka yang terletak di dalam kategori ini akan mengambil kira kesemua faktor di dalam pelaburan, dan akan membahagikan portfolio mereka untuk jenis pelaburan berbeza. Ia boleh jadi sesuatu yang menfokuskan pelaburan berisiko sederhana, ataupun gabungan pelaburan berisiko (high risk) & selamat (low risk).

Dari segi portfolio saham, pelabur sebegini akan lebih menggemari syarikat giat berkembang, tetapi dalam masa yang sama telah mempunyai track record yang cukup untuk menunjukkan prestasi yang stabil.

Dengan pendekatan yang seimbang ini, mereka juga lebih terbuka kepada mendapatkan pulangan yang sedikit lama, di antara 5 ke 15 tahun. Lazimnya, seseorang pelabur yang di pertengahan umur (pertengahan 30-an ke hujung 40-an) akan mempunyai profil sederhana.

Jika anda mempunyai ciri-ciri sebegini, berkemungkinan anda adalah seorang pelabur berprofil sederhana.

3. Profil Konservatif

Selamat Lebih Penting Dari Untung Besar

Seorang pelabur konservatif akan meletakkan keselamatan sebagai faktor utama. Oleh kerana faktor ini, mereka biasanya akan mengenepikan terus jenis pelaburan yang mempunyai kadar turun naik (volatility) yang terlalu tinggi. Bagi mereka, perlindungan modal adalah jauh lebih penting daripada keuntungan. Ini membuatkan mereka cenderung untuk memilih instrumen pelaburan yang stabil seperti deposit tetap (Fixed Deposit) dan sebagainya.

Sifat konservatif yang ada itu pastinya berasas. Biasanya, pelabur yang bersifat konservatif adalah mereka yang lebih berumur. Hal ini kerana mereka memerlukan perlindungan modal tersebut supaya dapat digunakan, sebagai contoh – apabila mereka telah pencen dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap.

profil risiko
Kenali profil risiko anda.

Beberapa Faktor Mempengaruhi Profil Risiko

Faktor Peribadi

  • Umur. (semakin muda seseorang, semakin mereka berani untuk mengambil risiko kerana liabiliti atau tanggungjawab yang rendah)
  • Sifat semulajadi. (sama ada seseorang itu biasa mengambil risiko di dalam aspek lain dalam kehidupan)
  • Jenis pekerjaan. (tetap atau tidak, ia menjadi faktor sama ada seseorang akan tetap mempunyai pendapatan sekiranya kerugian dalam pelaburan)
  • Kebolehkerjaan. (Employability, yang mempengaruhi kemampuan seseorang mendapatkan pekerjaan atau sumber pendapatan oleh kerana pengetahuan & kepakaran yang tinggi)

Faktor Keluarga

  • Jumlah ahli keluarga berpendapatan (jika seseorang itu mempunyai ahli keluarga lain yang juga berpendapatan tetap, mereka akan lebih berani mengambil risiko)
  • Jumlah Saraan (Individu yang tidak mempunyai saraan lazimnya lebih berani, kerana untung atau rugi tidak akan mempunyai impak terhadap ahli keluarga lain)
  • Anggaran Kelangsungan Hidup (Jika seseorang lebih muda, maka bolehlah pelan dibuat untuk jangka masa panjang. Sebaliknya jika sudah berumur, pasti tidak masuk akal (walaupun ajal maut itu di tangan Tuhan) untuk merancang bagi tempoh yang lama, seperti 20-30 tahun

Faktor Kewangan

  • Jumlah modal (Semakin banyak modal, semakin berani seseorang untuk meletakkan sesetengah bahagian untuk mengambil risiko)
  • Ketetapan Pendapatan (sedikit berbeza dengan jenis pekerjaan. Di dalam aspek ini, kita melihat pada pendapatan itu sendiri. Sebagai contoh, seorang yang mendapatkan pendapatan mengikut komisen – kerjanya tetap tetapi jumlah gaji bulanan tidak tetap. Individu yang tidak berpendapatan stabil kurang cenderung untuk mengambil risiko

Apakah Kesannya Jika Portfolio Pelaburan Tidak Mengikut Profil Risiko?

mengetahui profil risiko dan membina strategi portfolio adalah sangat penting. Jika tidak diikut, seseorang individu tidak akan berpuas hati dengan peredaran keuntungan atau kerugian dari masa ke semasa. Selain itu juga, penetapan yang tidak sesuai juga boleh membuatkan seseorang tidak berpuas hati dengan pulangan pelaburan mereka.

Secara amnya, kegagalan mengetahui profil risiko sendiri boleh menjadi punca pelaburan anda tidak membuahkan hasil.

Bagaimana Untuk Ketahui Profil Risiko Anda?

Analisa profil risiko boleh dibuat dengan beberapa cara, tetapi secara umumnya, ia boleh dibuat dengan soal selidik profil risiko. Sebagai hasilnya juga, lazimnya keputusan analisa akan digunaka

Semua soal selidik profil risiko mendapat jawapan individu untuk pelbagai soalan penyelidikan yang dilengkapi dengan profil risiko, yang kemudian digunakan oleh penasihat kewangan (baik manusia dan maya) untuk membantu membentuk peruntukan aset portfolio individu. Peruntukan aset ini secara langsung akan mempengaruhi risiko dalam portfolio, jadi penting agar ia sesuai dengan profil risiko individu.

Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang profil risiko anda sebagai pelabur, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia ada menyediakan kuiz asas di atas talian untuk diambil bagi tujuan penilai risiko peribadi anda. Sila rujuk pautan ini untuk maklumat lanjut: https://www.investsmartsc.my/my-risk-profile/

Profil Risiko Dalam Pelaburan Saham

Anda ingin mengetahui kaedah pelaburan saham patuh syariah secara value investing yang bersesuaian dengan profil risiko anda? Sertai kelas saham kami di sini.

Komen Facebook