Bila bercerita tentang pelaburan, ramai di kalangan kita yang cuak. Mana tidaknya, sudah biasa kita dengar kisah tentang beberapa rakan yang cuba menceburkan diri di dalam bidang pelaburan untuk mengaut keuntungan – alih-alih kehangusan modal. Bukan itu saja, anda pasti juga tahu bahawa pelaburan perlukan ilmu. Jika melabur tanpa ilmu, risikonya memang tinggi. Di sebalik kerisauan ini, anda mungkin pernah terdengar tentang “robo advisor” yang mungkin boleh menyelesaikan masalah anda yang takut untuk melabur.

Secara amnya, robo advisor adalah sebuah program yang dibina untuk menguruskan portfolio pelaburan penggunanya secara automatik. Ini biasanya dilakukan dengan menggunakan algoritma dan “artificial intelligence“. Pada hari ini, terdapat banyak aplikasi sebegini di luar sana, yang masing-masing menggunakan kaedah tertentu untuk menguruskan portfolio anda. Berdasarkan maklumat ini, digabungkan dengan informasi tentang “risk profile” anda sebagai pelabur, robo advisor akan mengimbangi portfolio anda secara berkala.

Jenis Pelaburan Yang Ditawarkan

Biasanya, melalui robo advisor, anda boleh melabur di dalam saham, “Exchange Traded Fund” (ETF) yang merupakan kumpulan saham, bon, ataupun mana-mana jenis pelaburan lain yang terpilih. Namun begitu, tidaklah semua robo advisor mempunyai kaedah pelaburan yang sama. Jadi, anda harus mengambil tahu tentang jenis pelaburan yang boleh dibuat oleh platform pilihan anda sebelum membuat pilihan.

robo-advisor-malaysia

Apa Kelebihan & Kekurangan Robo Advisor?

Kelebihan

Pelaburan Pasif

Adakalanya, pelaburan boleh menjadi sesuatu perkara yang agak menyusahkan kerana anda perlu mengambil banyak masa untuk membuat analisa, memantau prestasi, dan mengimbangkan portflio (melainkan anda melabur secara “value investing” yang terbukti tidak memerlukan komitmen masa yang banyak). Oleh yang demikian, penggunaan robo advisor boleh menjadi alternatif yang sesuai terutamanya jika anda tidak mempunyai masa dan pengetahuan yang cukup untuk melabur.

Kepelbagaian (Diverse Portfolio)

Pelaburan boleh menjadi sesuatu yang berisiko tinggi jika anda tidak mempelbagaikan jenis pelaburan. Sebagai langkah menguruskan risiko, seorang pelabur yang bijak akan sentiasa memastikan portfolionya bersifat pelbagai. Robo advisor pula dicipta dengan kepelbagaian portfolio untuk membantu anda menguruskan risiko tersebut. Oleh itu, jika ada mana-mana pelaburan di dalam portfolio anda yang merugikan, ianya boleh diimbangi dengan jenis pelaburan lain.

Pelaburan Tanpa Emosi

Jika anda menganggap emosi sebagai satu perkara remeh bagi seseorang pelabur, anda silap. Hal ini kerana di dalam dunia pelaburan, anda akan sentiasa terdedah kepada pengaruh-pengaruh luar yang boleh menghalang anda daripada berfikiran objektif dalam mengambil tindakan. Sentimen pasaran, “tips” dari pelabur lain, dan “Fear of Missing Out” (FOMO) mungkin boleh membuat anda bertindak mengikut emosi (yang biasanya adalah sebab utama pelabur mengalami kerugian). Melalui robo advisor, anda tidak akan menghadapi situasi sebegitu kerana kaedah pelaburan anda adalah dengan membuat komitmen pelaburan berdasarkan “Dollar Cost Averaging” sahaja.

Fi Pengurusan Rendah

Robo advisor biasanya mengenakan fi pengurusan yang rendah, sekitar 1% setahun atau kurang. Sebaliknya, jika anda melabur di dalam unit amanah, anda mungkin dikenakan caj di antara 0.5% sehingga 2.5% setahun. Bahkan, ada juga dana unit amanah yang mengenakan caj sehingga 5% sewaktu permulaan, dan 5% lagi jika anda ingin mengeluarkan dana anda.

Kekurangan

Potensi Pulangan Terhad

Oleh kerana sifatnya yang lebih pasif, metodologi pelaburan robo advisor biasanya menumpukan kepada jenis pelaburan yang kurang berisiko. Boleh dikatakan juga bahawa pelaburan ini sudah di”sanitasi”kan (sanitised), dalam erti kata lain dijadikan lebih “selamat” untuk pengguna yang tidak mempunyai pengetahuan mendalam tentang pelaburan. Meskipun ia bukanlah satu masalah untuk kebanyakan pengguna, tetapi sudah pasti pelabur yang berpengalaman akan mengatakan potensi pulangan tidak cukup menarik, terutamanya jika profil risiko mereka bersifat agresif.

Penyesuaian Terhad

Kemudahan automasi yang ada pada robo advisor mungkin boleh menjadi satu kekurangan jika dipandang daripada satu sudut. Ini kerana anda tidak akan diberi pilihan untuk mengubahsuai metodologi pelaburan dan sebagainya. Sebaliknya, anda hanya boleh mengubahsuai beberapa perkara asas, seperti matlamat pelaburan dan profil risiko sahaja.

Metodologi Pelaburan yang Tidak Telus

Jika anda adalah seorang pelabur yang cukup berilmu, anda pasti mempunyai kriteria sendiri dalam memilih jenis pelaburan. Namun begitu, biasanya kriteria ini telah ditetapkan dari awal daripada syarikat pengendali robo advisor tersebut dan kadangkala ianya tidak dikongsi dengan pengguna.

Cukai Pegangan Dividen

Beberapa robo advisor yang ada di pasaran pada hari ini banyak melabur di dalam sekuriti yang tersenarai di Amerika Syarikat (AS). Namun begitu, sebagai pelabur asing (non-citizen) yang membeli saham di AS, dividen anda akan dikenakan cukai pegangan setinggi 30% secara automatik. Tetapi, anda boleh memeriksa robo advisor pilihan anda, kerana ada di antara mereka yang boleh mendapatkan pulangan cukai separa untuk anda.

Apakah Robo Advisor yang ada di Malaysia?

Meskipun mula diperkenalkan di peringkat antarabangsa pada tahun 2008, robo advisor yang pertama di Malaysia hanya mula dilancarkan pada 2 tahun lalu. Stashaway, iaitu sebuah syarikat yang berpengkalan di Singapura merupakan yang pertama untuk memperkenalkan platform ini. Seterusnya, ia diikuti MyTHEO dan Wahed Invest yang memasuki pasaran pada tahun 2019. Setakat Jun 2020, hanya 3 syarikat ini yang diperlesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia untuk memberikan khidmat robo advisor kepada pengguna awam.

Terdapat dua lagi platform lain, iaitu Raiz yang baru dilancarkan pada bulan Julai (beri sedikit masa untuk penulis review app dulu sebelum masukkan maklumatnya di sini ya), dan Robowealth yang juga dijangka akan dilancarkan di Malaysia pada tahun ini.

Robo Advisor Patuh Syariah di Malaysia: Wahed Invest

Meskipun terdapat beberapa pilihan platform di pasaran Malaysia pada hari ini, tidaklah semua daripada mereka berstatus patuh syariah. Setakat Jun 2020, hanya terdapat 1 robo advisor yang berstatus patuh syariah di Malaysia, iaitu Wahed Invest.

Sila ke pautan ini untuk mengetahui lebih lanjut tentang Wahed Invest (nota: artikel ini hanyalah satu review 100% mengikut pengalaman peribadi penulis, bukan promotional content ya).

Jadi, Patutkah Anda Menggunakannya?

Setelah mengambil kira kelebihan dan kekurangan robo advisor, adakah anda patut menggunakannya? Pada pendapat peribadi penulis, pelaburan automasi ini adalah pilihan sesuai untuk golongan ini:

  1. Individu yang ingin memulakan pelaburan tetapi belum cukup ilmu pengetahuan untuk melakukannya sendiri.
  2. Individu yang ingin melabur secara pasif, pada masa yang sama selesa dengan kadar potensi keuntungan robo advisor pilihannya.
  3. Pelabur yang mempunyai banyak dana dan sudah melabur di dalam beberapa kelas aset, tetapi ingin mempelbagaikan portfolio bagi tujuan pengurusan risiko.

Secara peribadi, penulis lebih gemar meletakkan majoriti modal pelaburan di dalam saham yang mana portfolio diuruskan secara manual setelah melakukan kajian (fundamental analysis) sendiri. Manakala, robo advisor pula digunakan sebagai “tambahan” kepada simpanan (yang mana kadar faedah tahunan ditawarkan bank cuma sekitar 0.2%), seperti lebihan wang dan sebagainya. Bagi penulis, lebih baik menggunakan kaedah pelaburan ini daripada membiarkan wang di dalam simpanan bank (setelah mengambil kira keperluan mempunyai simpanan minima untuk tujuan kecemasan yang tidak patut diusik – bab pengurusan kewangan 101) dan dibiarkan susut nilai kerana inflasi.

Harus diingatkan bahawa ini hanyalah pendapat peribadi penulis, dan anda perlulah melakukan kajian yang lebih teliti dan mendapatkan khidmat nasihat pakar sebelum memulakan mana-mana jenis pelaburan, termasuklah keputusan untuk menggunakan robo advisor. Setiap jenis pelaburan ada risikonya yang tersendiri, dan bezanya cuma sama ada kadarnya tinggi atau rendah.

Adakah Platform Digital Lain untuk Melabur Secara Pasif?

Selain daripada robo advisor yang disebut, terdapat satu lagi platform yang mungkin boleh menarik minat anda sekiranya anda ingin mula melabur tetapi belum mempunyai pengetahuan yang cukup. Jawapannya adalah BEST Invest daripada Bank Islam (BIMB) Investment.

Secara asasnya, BEST Invest juga adalah platform digital untuk melabur secara automasi. Malahan, ia juga patuh syariah. Tetapi, BEST invest tidak boleh dipanggil sebagai “robo advisor” kerana ia tidak menepati definisi oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Hal ini kerana BEST Invest adalah sebuah platform pelaburan dana amanah secara online. Sila lawati laman web BEST Invest untuk maklumat lanjut: https://bimbinvestment.com.my/best-app-faqs/.

Apa pendapat anda tentang robo advisor? Atau, adakah anda salah seorang pengguna? Sila kongsikan pendapat dan pengalaman anda di ruangan komen!

Nota: LaburSahamSyariah.com bersama VI College giat menganjurkan kelas untuk mereka yang berminat belajar saham. Sila klik pada link untuk info lanjut.

Komen Facebook