Artikel kali ini bukan pasal ilmu pelaburan. Sebaliknya, saya nak mendedahkan tentang aktiviti scammer yang menyalahguna nama blog saya. Di sini saya kongsikan tentang apa yang terjadi sejak beberapa minggu lepas.

Pada 27 Mei lalu, saya dikejutkan dengan mesej peribadi di Facebook daripada seorang pengguna tak dikenali bertanyakan sama ada Labur Saham Syariah (LSS) ada menawarkan pakej pelaburan. Soalan ini buat saya terpinga-pinga. Jadi, saya minta maklumat lanjut daripada pengguna tersebut, dan telah mendapat makluman bahawa ada pihak tidak bertanggungjawab yang telah menggunakan nama blog ini, Labur Saham Syariah, dan nama saya sendiri (Aliff Mazli) untuk menjalankan aktiviti penipuan (scam).

Modus Operandi Scammer

Modus operandi mereka adalah: mereka akan hubungi anda melalui Whatsapp menyamar sebagai ejen LSS (menggunakan nama “Labur Saham Syariah Sdn Bhd”, sebuah syarikat yang kononnya berdaftar dengan Kementerian Kewangan). Kemudian, mereka menawarkan pakej pelaburan yang bunyinya sangat menguntungkan. Bukan itu sahaja, keuntungan pun dijamin!

Pakejnya mungkin berubah-ubah, tapi konsepnya sama sahaja.

Mula-mula anda perlu bayar modal murah sahaja serendah RM300, dan kemudian anda akan ditunjukkan bukti selepas beberapa jam bahawa pelaburan anda sudah mendapat untung. Tapi, tricknya adalah anda takkan boleh dapat terus keuntungan tersebut. Sebaliknya, anda perlu buat bayaran “caj pengeluaran” sebelum keuntungan tersebut dibayar ke akaun anda.

Berdasarkan cerita daripada mereka yang menghantar mesej di FB, scammer ni akan lesap sama ada selepas anda buat bayaran pertama (RM300) atau lepas bayaran kedua.

Bagaimana Mereka Mengelirukan Orang Ramai

Kenapa ada yang tertipu? Mungkin kerana ada yang terdesak dan kerana pakej yang ditawarkan tersangatlah menarik. Bukan itu sahaja, mereka juga menggunakan nama saya, dan yang lebih “daring” adalah mereka mempunyai dokumen palsu daripada Bank Negara Malaysia.

Selain itu, mereka juga menyalin blog saya untuk mengelirukan pengguna. Namun begitu, ada beberapa perbezaan yang anda boleh kenalpasti:

Berikutan perkara ini, saya telah membuat laporan polis dan pada masa yang sama, juga meminta semua pengguna FB yang mengatakan telah tertipu untuk membuat perkara sama.

Ini salinan laporan polis saya.

Hasrat Saya Cuma Satu: Supaya Tiada Lagi Yang Tertipu!

Saya benar-benar berharap sesiapa sahaja yang dihubungi oleh scammer menyamar sebagai Labur Saham Syariah ini ada buat kaji selidik terlebih dahulu dan menjumpai pengumuman yang telah dibuat sama ada di Google (artikel ini), Facebook, mahupun Instagram.

Tapi jika anda juga telah terpedaya, segeralah buat laporan polis.

Selain itu, saya ingin pesan kepada anda supaya berhati-hati kerana terdapat ramai pihak yang tidak bertanggungjawab dan berniat buruk yang ingin mengambil kesempatan daripada situasi ekonomi sekarang. Ramai yang terdesak untuk cari pendapatan tambahan dalam tempoh masa yang singkat, jadi skim yang yang ditawarkan scammer ini mungkin nampak macam satu “penyelesaian” walau hakikatnya tidak.

Akhir Kata

Akhir sekali, saya ingin rumuskan kembali maklumat tentang Labur Saham Syariah, dan diri saya sendiri.

  1. Saya, Aliff Mazli, adalah seorang jurulatih di VI College, iaitu sebuah syarikat (berdaftar di SSM sebagai 8VI Malaysia Sdn Bhd) yang menjalankan program PENDIDIKAN pelaburan. Kami juga mempunyai rangkaian syarikat di Singapura yang mempunyai aplikasi teknologi pelaburan bernama “VI App” (VI App adalah aplikasi untuk membuat analisa saham yang berkualiti).
  2. Sehingga tarikh artikel ini ditulis, saya hanya memegang jawatan sebagai pengarah di SATU syarikat sahaja, iaitu Emperikal Sdn Bhd, sebuah syarikat pemasaran digital.
  3. Blog Labur Saham Syariah (LSS) ini sekadar blog peribadi dan satu saluran untuk berkongsi penulisan saya tentang pelaburan sahaja. Ianya tidak berdaftar sebagai sebuah perniagaan di SSM.
  4. Memandangkan LSS sendiri bukan satu perniagaan, pastinya saya tak pernah melantik ejen jualan untuk mencari pelanggan.
  5. Saya juga tidak menjalankan perniagaan menawarkan skim pelaburan, mahupun berdaftar dengan Kementerian Kewangan atau Bank Negara.

Jika anda pernah dihubungi scammer atau pernah ditipu, mohon kongsi maklumat tambahan seperti nombor telefon, akaun bank scammer & lain-lain supaya orang lain yang dihubungi mereka boleh ambil langkah berjaga-jaga.

Sekian, terima kasih dan harap maklum.

Komen Facebook