Siapa yang tak kenal Robert T. Kiyosaki, penulis buku Pendidikan kewangan yang berjudul “Rich Dad Poor Dad” yang menjadi buah mulut orang ramai. Ilmu yang dimampatkan di dalam buku bersiri beliau dikatakan mempunyai banyak manfaat buat setiap individu yang mengimpikan kejayaan kewangan “financial success” di dalam kehidupan. Jika anda pernah membaca buku ini, sudah pasti anda faham maksud saya. Buku ini dapat membuka minda dan mampu mengubah persepsi kita tentang pengurusan kewangan.

Inilah buku pertama berkaitan kewangan dan pelaburan yang saya baca. Daripada buku inilah minat saya terhadap pelaburan mula timbul, yang memberikan inspirasi untuk saya dalami ilmu ini secara lebih mendalam.

Di dalam artikel ini, ingin saya ulaskan sedikit tentang dasar di dalam buku tersebut di dalam membina kekayaan, iaitu “Cashflow Quadrant”. Sebenarnya, topik “Cashflow Quadrant” ini mempunyai judul yang khas, yang mana penulis yang sama ada mengulas tentang setiap satu sudut secara lebih terperinci. Anda boleh dapatkan buku tersebut jika berminat.

P.s. Kredit ulasan buku ini diberikan sepenuhnya kepada https://www.richdad.com/

Apa Itu “Cashflow Quadrant”?

“Cashflow Quadrant” atau sudut aliran tunai adalah frasa yang dipopularkan oleh Robert Kiyosaki dalam usaha mengajar pembaca memahami sumber-sumber utama menjana pendapatan, dan sudut yang mana satu yang perlu anda fokuskan untuk mendapatkan pulangan mahupun pendapatan yang lumayan. Di dalam “Cashflow Quadrant” ini, ada 4 sudut yang perlu anda kenali.

Sudut “E” – “Employee”

Sudut “E” atau “Employee” ini bermaksud anda menjana aliran tunai melalui cara makan gaji. Sudah pastinya ini adalah cara majoriti, tidak kiralah di negara mana sekalipun. Pilihan untuk bekerja dengan orang difikirkan cara yang paling cepat dan selamat untuk mula mendapatkan wang bagi apa pun tujuan, seperti kelangsungan hidup dan sebagainya. Jika anda ingin mendapatkan gaji yang lebih tinggi, anda cuma perlukan kelayakan dan tahap kemahiran yang lebih tinggi. Bunyinya macam ideal, tetapi adakah ini kebenarannya?

Hakikatnya tidak. Hal ini kerana jika anda bekerja dengan orang lain, gaji anda biasanya mempunyai had, iaitu dalam bentuk tetapan gaji yang telah dipersetujui. Bukan itu sahaja, lazimnya anda tidak akan dibayar lebih tinggi daripada majikan itu sendiri. Bahkan jika anda makan komisen sekalipun, sentiasa akan ada had di mana anda hanya akan mendapat peritus yang kecil daripada jualan yang anda berjaya buat untuk syarikat.

Ingat, tanggungjawab majikan adalah supaya anda dibayar gaji dan mendapat faedah yang dijanjikan di dalam kontrak perkhidmatan. Sama ada gaji anda membuatkan anda kaya atau tidak bukanlah masalah mereka.

Sudut “S” – “Self-Employed”

“Self- Employed” atau bekerja sendiri pula bermaksud anda bergantung sepenuhnya kepada kudrat dan kemampuan diri sendiri untuk bekerja keras. Yang baiknya tentang kaedah ini adalah anda yang akan mendapat semua keuntungan tanpa perlu dibahagikan.

“S” juga boleh dikira sebagai “star”, yang terpakai untuk para selebriti, artis, dan ahli sukan.

Tapi adakah ini kaedah yang terbaik? Tidak juga. Fikirkan begini, apabila anda menjalankan perniagaan secara bersendiri, risiko yang anda hadapi adalah lebih tinggi. Bayangkan 100% “output” untuk perniagaan bergantung sepenuhnya kepada anda seorang sahaja, bagaimana mungkin anda jalankan perniagaan sekiranya anda ada hal peribadi untuk diselesaikan?

Ini adalah salah satu masalah kenapa sukar untuk “freelancer” yang bergerak secara individu menghadapi kesukaran untuk menjual lebih banyak produk atau memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pelanggan, semuanya kerana masa dan kudrat yang terhad.

Sudut “B” – “Business Owner”

Robert Kiyosaki telah mengkhususkan bahagian ini kepada pemilik perniagaan, dan menekankan perbezaan di antara menjadi “owner” kepada bisnes yang mampu beroperasi secara automatik tanpa campur tangan yang kerap dengan “owner-operator”, yang mana seseorang memiliki perniagaan tersebut tapi masih lagi perlu bekerja setiap hari.

Sudut “B” adalah salah satu cara yang ideal untuk menambah kekayaan, kerana anda akan mempunyai pasukan untuk menggerakkan perniagaan. Dengan adanya pasukan ini juga, anda boleh beroperasi dengan skala yang lebih besar berbanding perniagaan persendirian secara “sole proprietorship”.

Kaedah yang terbaik, menurut Robert Kiyosaki, adalah untuk memiliki perniagaan yang sudah mempunyai system yang baik. Ianya tidak ubah seperti Sudut 4, iaitu “Investor” di bawah, cuma bezanya di sini anda melabur di dalam perniagaan persendirian.

Sudut “I” – “Investor”

Ini adalah sudut yang terpenting menurut Robert Kiyosaki. Hal ini kerana sebagai “Investor” atau pelabur, anda tidak lagi perlu bekerja untuk wang, sebaliknya wang yang akan bekerja untuk anda. Hal ini tidak mustahil sekiranya anda mempunyai ilmu yang betul untuk memilih jenis pelaburan yang baik. Salah satu daripadanya adalah pelaburan saham, yang mana anda Cuma perlu mahir dalam menganalisa syarikat yang baik berdasarkan kriteria-kriteria terpilih sebelum melabur.

Perkara yang paling utama sebagai pelabur adalah anda tidak lagi terikat kepada masa, kerana anda tidak perlu melibatkan diri di dalam perihal operasi harian syarikat. Sebaliknya, anda Cuma perlu mampu menilai prestasi dan model perniagaan syarikat dari semasa ke semasa mengikut laporan kewangan yang dikeluarkan.

Lagi satu tentang sudut “I” ini, ia boleh dibuat semua orang, mahupun mereka yang berada di dalam sudut-sudut terdahulu. Anda boleh makan gaji sambil jadi pelabur, dan pastinya anda boleh miliki perniagaan sendiri sambil jadi pelabur!

Jika anda berminat untuk belajar kaedah Analisa syarikat yang baik untuk dilabur, anda boleh hadirkan diri ke seminar Labur Saham Syariah anjuran VI College ini.

belajar saham

Kesimpulannya

Ilmu adalah asas kepada kejayaan. Jika anda mempunyai ilmu yang cukup, pastinya anda akan tahu di mana nak fokus. Jika diambil rumusan daripada konsep Robert Kiyosaki ini, perkara yang terutama untuk membina kekayaan adalah untuk mula melabur. Tapi ingat, setiap jenis pelaburan ada risiko, jadi jangan terburu-buru untuk bermula tanpa ilmu yang mencukupi dan panduan yang betul.

Jika anda belum pernah membaca buku ini, saya sarankan anda dapatkan senaskhah untuk dalaminya lagi. Sila kongsikan di komen jika anda pernah membaca buku ini!

Komen Facebook